Wednesday, March 10, 2010

Lindungi si kecil-hari kanak kanak sedunia


ASSALAMUALAIKUM. Pemula kata, selamat Hari Kanak-kanak Sedunia Unicef yang jatuhnya hari ini. Kita selalu dengar mengenai Hari Kanak-kanak tetapi jarang ambil inisiatif untuk tahu tanggungjawab di sebalik sambutan hari ini.

Dulu, sambutan begini pasti Paknil nantikan kerana ingin tahu siapa kanak-kanak kita yang bakal digelar hero melalui penganugerahan Pingat Hang Tuah.


Rupa-rupanya Pingat Hang Tuah diperkenalkan sejak 1960 untuk mengiktiraf keberanian dan jasa kanak-kanak. Seingat Paknil, antara keberanian dilakukan penerima anugerah adalah menyelamatkan mangsa daripada mati lemas dan kebakaran. Hero kanak-kanak ini dianggap seperti luar biasa sifatnya kerana mempunyai kudrat menyelamat nyawa walaupun mereka masih kecil.


Mulai saat itu Paknil menanam cita-cita untuk merangkul pingat besar seperti itu kerana mahu turut diiktiraf sehebat hero. Begitulah kuatnya pengaruh Hari Kanak-Kanak kepada Paknil yang berasa pengiktirafan sebegitu memang besar ertinya dan penerimanya adalah orang yang benar-benar berjasa.


Paknil masuk pertandingan membaca sajak, pantun, menyanyi, nasyid, syair, bercerita dan pelbagai lagi di peringkat sekolah. Kemuncak perjuangan Paknil untuk mendapat pengiktirafan dicapai apabila diumumkan sebagai Pemidato Terbaik pertandingan Debat Konsumerisme ketika di tingkatan enam.


Wah... puas rasanya dapat menyaksikan wajah Paknil di dada akhbar bangga menjulang piala kemenangan.

Bukanlah tujuan ingin berbangga pencapaian zaman kanak-kanak Paknil, tetapi semata-mata ingin berkongsi perasaan sebagai kanak-kanak terhadap penganjuran sebegini. Itulah kesannya sambutan hari kanak-kanak pada Paknil.


Kini penganjuran Hari Kanak-kanak masih diteruskan tetapi seharusnya pengisiannya pula patut berbeza.


Jika dulu kanak-kanak didedahkan dengan bahaya bermain sungai atau api, kini mereka harus dikongsikan dengan cerita penderaan. Tiba masanya kanak-kanak didedahkan kepada hak mereka supaya kehadiran mereka tidak hanya dirasakan ketika hari kanak-kanak.


Adakah sebab kita yang dewasa terlalu sibuk dengan urusan masing-masing sehingga terlupa menjadi payung kepada golongan yang dianggap ‘penumpang’ dunia ini? Jika kita benar-benar payung kepada anak kita, kenapa berlaku kes kanak-kanak mati didera, hilang, dirogol, dibunuh, bayi dibuang hidup-hidup dan pelbagai insiden malang lain? Seharusnya sasaran untuk hari kanak-kanak ini adalah lebih kepada kita yang dewasa. Kita jangan berasa sambutan hari ini adalah untuk mereka semata dan melupakan tanggungjawab kita.


Paknil ingin mengambil kesempatan sempena Hari Kanak-kanak Sedunia Unicef untuk berpesan pada diri sendiri dan golongan orang dewasa yang lain supaya saling mengingati tanggungjawab kita untuk melindungi hak mereka.


Paknil percaya cara untuk kita mengiktiraf kanak-kanak bukan melalui perhimpunan kanak-kanak di awal pagi dan menganugerahkan gelaran Tokoh Kanak-kanak Kebangsaan semata-mata. Jika kanak-kanak tahu memberi pendapat, Paknil percaya bukan itu yang mereka pinta.


Pasti mereka mahukan golongan dewasa memberi kasih sayang terlebih dulu. Malah ini hak yang jelas termaktub dalam perjuangan hak kanak-kanak.


Paknil percaya jika hak asas ini dapat kita penuhi, banyak hak kanak-kanak yang selebihnya dapat dipenuhi. Kita jangan jadi golongan yang kedekut kasih sayang di mana kita hanya ingin hulur rasa kasih sayang untuk anak yang ada hubungan darah dengan kita dan sama warna dengan kita.


Luaskan pengertian sebaran kasih sayang ini pada kanak-kanak tanpa mengenal sempadan. Kita harus turut rasa sakit jika ada anak di Haiti menderita. Kita harus turut rasa geram dan marah apabila ada anak di bumi Palestin dibedil bom serta bangun melindungi mereka. Kita harus turut rasa senak perut bila ada anak di Sudan mati kelaparan.


Lebih tragik jika kita tidak berasa apa-apa apabila ada kanak-kanak di depan mata kita dan di negara kita diperlakukan seperti binatang. Sedih yang teramat sangat di hati Paknil mengenang keadaan ketika kanak-kanak itu dianiaya dan terbayang pula pada waktu sama ada manusia yang memanjakan binatang peliharaan.

Bukan Paknil menidakkan hak binatang untuk dibelai tetapi kenapa dalam keghairahan manusia membelai binatang, ada manusia tidak reti membelai kanak-kanak? Jika bergetar jantung Paknil hanya untuk bercakap mengenai kes penderaan kanak-kanak, bayangkan akan getaran jantung yang dilalui kanak-kanak itu sendiri ketika didera, dirogol, diliwat dan saat dibunuh.


Cerita kematian anak benar-benar memilukan, terutama ketika kita semua berkejar untuk menggelar diri kita sebagai masyarakat penyayang. Namun ada juga akibat kecuaian kita yang dewasa, maka kemalangan berlaku dan mengorbankan jiwa kanak-kanak. Bukankah tugas kita melindungi mereka? Dalam berat hati, Paknil keraskan hati ini untuk senaraikan di sini antara kes kematian kanak-kanak. Bukan tujuan mengungkit kedukaan keluarga terbabit, tetapi untuk kita letakkan diri kita di tempat kanak-kanak malang itu. Mungkin juga keinsafan akan muncul di hati kita jika kita bayangkan perkara sama berlaku pada anak sendiri.


Antara kes: 1) Aaliyah Aiman Hussin Abdullah, 3, yang mati dipercayai didera, dirogol dan diliwat teman lelaki ibunya; 2) Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mati akibat penderaan seksual dan dirogol; 3) Syafiah Humairah Sahari, 3, yang mati didera teman lelaki ibunya; 4) Mohd. Taufik Mohd. Akhir, 4, yang mati dipercayai disembelih ibunya; 5) Liew Siew Fong, 2, yang mati akibat terbenam di dalam besen berisi air; 6) Azan Azreeq Yusme, 9, yang mati tertembak ketika mengikut datuknya mengutip buah durian; 7) Nurul Ain Ashikin Shahbudin, 3, yang mati terjatuh dari tingkat 14; 8) Siti Syazwani, 9, yang mati dirogol pekerja asing di ladang kelapa sawit.


9) Nurul Huda Abd Ghani, 10, yang dirogol serta diliwat bergilir-gilir oleh tiga lelaki sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen janakuasa TNB; 10) Haserawati Saridi, 10, yang dirogol dan dibunuh ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Menggatal, Sabah; 11) Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, 2, yang dibunuh dalam keadaan bogel dan ada kesan koyak pada kemaluan serta 40 kesan luka pada badan dan pendarahan dalam otak; 12) Nur Shuhada, 6, ditemui mati di bumbung kediaman tiga tingkat dalam keadaan separuh bogel dan lebam di muka dan tangan; 13) Norshakila Ramli Choo, 6, dirogol dan dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang; 14) Kanak-kanak perempuan 7 tahun mati dirogol dua remaja 19 tahun sehingga terkeluar usus ketika merompak keluarga mangsa; dan 15) Cindy Yeo, 3, yang mati dihempap televisyen apabila dibiarkan berseorangan menonton TV.


Itu sekadar contoh kekejaman masyarakat dan kelalaian kita. Paknil kalau boleh seperti hendak pesan kepada anak untuk menjaga diri kerana orang yang sepatutnya melindungi mereka juga gagal dalam tugas mereka tapi apakan daya, mereka lemah dan tubuh mereka masih kecil.


Jadi Paknil pesan pada yang boleh membaca tulisan Paknil ini supaya lakukan tanggungjawab menjaga anak kita dengan penuh kasih sayang. Mahukah nanti nama anak kita pula tersenarai bersama nama anak yang di atas? Wassalam.

Tuesday, March 9, 2010


ASSAM JAWA – Program Tahsinul Quran anjuran Akademik Zakat Selangor (Azas) memberikan peluang kepada golongan asnaf dan mualaf di daerah ini untuk mempelajari al-Quran dengan cara sistem pengajaran kaedah Al-Bada.

Perunding program, Mohamad Fairus Abu Bakar berkata, ia adalah program kali pertama diadakan sebanyak 6 sesi bermula 7 Februari lalu dan tamat 8 Mac yang disertai 120 orang terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak.

Menurutnya, cara pembelajaran yang diajar sepanjang program tersebut menggunakan sistem genius dan belajar membaca al-Quran di mana tamat sahaja kursus mereka akan tahu untuk mengaji.

“Ada juga golongan dewasa yang tidak tahu mengaji dan apabila tamat sahaja kursus ini, mereka sudah mula mengenal huruf serta boleh mengaji dengan baik.

“Objektif program ini adalah untuk membanteras mereka yang buta al-Quran terutama mereka yang kurang mengambil berat tentang mengaji,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kewujudan sifat malu mereka untuk belajar mengaji itu tidak timbul kerana apa yang penting belajar mengaji al-Quran itu adalah asas paling utama dalam agama Islam sebagai bekalan di akhirat kelak.

“Dalam program ini, kita membuat enam kumpulan dan setiapnya mempunyai tenaga pengajar supaya pendekatan pembelajaran mengaji al-Quran mereka akan lebih mudah difahami.

“Malah, peserta ini begitu semangat dan masing-masing memberikan tumpuan yang sepenuhnya semata-mata untuk belajar membaca al-Quran dengan sebaiknya,” katanya.

Mohamad Fairus berkata, diharapkan mereka yang mengikuti kursus ini dapat memanfaatkan dengan sebaiknya dan sentiasa terus mengamalkannya supaya pembelajaran mengaji itu dijadikan sebagai salah satu aktiviti harian.

“Walaupun mereka ini adalah golongan asnaf dan mualaf, tetapi ilmu keagamaan yang dipelajari ini memberikan makna cukup mendalam dalam kehidupan keluarga,” katanya

Wednesday, March 3, 2010

Perutusan Presiden ABIM Sempena Maulidur Rasul 1431H


BERSAMA MENINGKATKAN USAHA DAN KUALITI DAKWAH MENDEPANI ERA PERALIHAN ZAMAN


Sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun 1431 ini harus dijadikan kesempatan untuk kita meningkatkan daya usaha dakwah dan kualiti penyampaiannya kepada masyarakat terbanyak. Usaha menyampaikan ajaran Islam menerusi pelbagai usaha dan proses merupakan agenda utama pengutusan Nabi Muhammad SAW. Hal ini terungkap di dalam doa Nabi Ibrahim a.s kepada Allah SWT sebagaimana terakam di dalam ayat al-Quran:

Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka yang akan membacakan ayat-ayat Engkau dan mengajarkan mereka al-Kitab (al-Quran) dan hikmah serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. ( Al-Baqarah: 129)

Doa Nabi Ibrahim a.s memohon pengutusan seorang Rasul yang boleh menjayakan usaha mendidik umat dari kejahilan kepada pencerahan ilmu pengetahuan termakbul dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW, sebagaimana firman Allah SWT:

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (al-Jumuah: 2-3)

Usaha membangunkan masyarakat dan umat berasaskan panduan dan pedoman cahaya al-Quran dan al-Hikmah merupakan agenda besar kenabian yang kini telah diwarisi oleh seluruh umat Islam. Menjayakan usaha ini menuntut kita umat Islam untuk terlibat di dalam menjayakan dan meningkatkan dakwah Islamiyyah secara berterusan.

Pada masa kini, dakwah Islamiyyah sedang memasuki era baru peralihan zaman. Umat Islam sedang berada di dalam era yang dikenal sebagai “masyarakat terbuka”. Arus globalisasi dan revolusi di bidang komunikasi dan teknologi maklumat telah menjadikan masyarakat terbuka sebagai satu realiti.

Selaku umat Islam yang berpandangan positif, era peralihan zaman ini harus dijadikan peluang untuk kita meningkatkan usaha penyampaian ajaran agama Islam kepada seluruh masyarakat terbanyak. Kita perlu meningkatkan seluruh saluran dan ruang penghebahan untuk memastikan ajaran agama Islam tersebar.

Untuk tujuan tersebut, bagi memanafaatkan era baru ini, kita ingin mencadangkan beberapa daya usaha dakwah yang perlu diberikan tumpuan:

Pertama: Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan usaha di dalam bidang dialog peradaban. Realiti masyarakat terbuka memberikan peluang yang luas untuk kita berkecimpung dan berinteraksi dengan masyarakat dunia yang pelbagai. Usaha dakwah menerusi dialog memberi ruang untuk kita memahami realiti kehidupan yang pelbagai dan berkongsi jalan kebenaran dengan seluruh masyarakat dunia. Usaha dialog yang aktif juga akan menyumbang di dalam mengikis gejala ‘Islamophobia’ – rasa gerun dan takut kepada agama Islam dan penganutnya oleh sebahagian masyarakat dunia pada hari ini.

Kedua: Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan penguasaan di dalam bidang teknologi dakwah. Ini bagi membolehkan citra dakwah terjelma secara meluas di dalam pelbagai wajah baru yang dinamik. Penguasaan teknologi dakwah meliputi keperluan untuk usaha penyebaran Islam terhebah menerusi saluran komunikasi baru seperti informasi maya, seni elektronik serta dan imej bergerak. Hal ini menuntut umat Islam dan pergerakan dakwah membudayakan amalan kreativiti dan inovasi di dalam usaha penyampaian ajaran Islam.

Ketiga: Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan bidang penyelidikan dan pembanguan berkaitan ajaran Islam di dalam pebagai bidang. Hal ini amat penting bagi memastikan persoalan-persoalan berkaitan dakwah dan ajaran Islam di abad ke 21 dapat dikupas dengan sempurna dan berkualiti sebagai panduan masyarakat mendepani cabaran kehidupan hari ini yang serba mencabar. Hal ini menuntut umat Islam untuk meningkatkan usaha di bidang pengkajian ilmu secara ilmiah bagi membolehkan ajaran Islam dari sudut perundangan, ekonomi, politik dan kebudayaan sentiasa segar dari sudut falsafah dan amalannya sejajar dengan perkembangan zaman.

Ketiga-tiga langkah ini merupakan antara cabaran utama umat Islam dan pergerakan dakwah semasa. Menangani cabaran ini menuntut kita umat Islam meningkatkan kualiti diri terutama di dalam bidang ilmu pengentahuan, keperibadian dan kepakaran.

Peningkatan kualiti diri umat Islam adalah asas. Ia akan dapat menyumbang di dalam membetulkan persepsi negatif sebahagian pandangan masyarakat dunia yang memandang ajaran agama Islam sebagai satu sumber kemunduran. Peningkatan ini secara langsung membantu mengubah persepsi negatif ini seterusnya membuktikan bahawa agama Islam bukan penghalang kemajuan di dalam segala bidang kehidupan.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada kali ini juga, marilah kita meningkatkan ucapan Selawat dan Salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, sebgaimana Firman Allah SWT:

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab : 56)

اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه وسلم

“Allah humma sali ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala alihi wasahbihi wassallam.”